06 Mac : Bertempat di Menara Felda, Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak telah merasmikan Majlis Anugerah Semai Bakti Felda 2013 yang menyaksikan seramai 18 orang kakitangan dan peneroka Felda menerima anugerah darjah atas usaha yang gigih dalam membangunkan Felda.
Dalam perasmian tersebut, Najib telah membuat pengumuman mengenai perkembangan perniagaan Felda dan manfaat yang diterima oleh masyarakat Felda.
Kata Najib, Felda menyediakan peruntukan tambahan RM100 juta bagi skim pinjaman program pembesaran rumah untuk 12,000 penerokanya tahun ini.
Setakat ini, 100,000 peneroka mendapat manfaat daripada kemudahan pinjaman tanpa faedah yang diwujudkan sejak tahun 2005 itu.
Beliau berkata pinjaman dengan jumlah maksimum RM40,000 itu akan dipertimbangkan kepada peneroka yang layak bagi membina semula atau mengubah suai rumah di tanah rancangan.
“Peneroka yang belum pohon bolehlah pohon pinjaman yang teristimewa dan yang terbaik di dunia ini,” kata Najib dalam ucapan rasminya di sini, hari ini.
Selain itu, Najib mengumumkan Felda akan menandatangani perjanjian dengan syarikat di Timur Tengah, Lulu Hypermarket, bulan ini untuk menjalin kerjasama perniagaan, selain memasarkan produk Felda di dalam dan di luar negara.
Beliau berkata Lulu Hypermarket yang menjual produk halal di 150 cawangan pasar raya besarnya di Timur Tengah, seperti Abu Dhabi, Dubai, Kuwait dan Arab Saudi, sangat sesuai untuk dijadikan rakan kongsi.
“Perjanjian ini bakal ditandatangani dalam lawatan saya ke Abu Dhabi bulan ini,” kata Perdana Menteri dalam ucapan pada Majlis Semai Bakti 2013 di Menara Felda di sini Khamis.
“Lulu Hypermarket juga akan membuka 10 pasar raya di Malaysia. Bangunan pasar raya akan dibina oleh Felda dan disewakan,” kata Najib.
Memetik laporan dari Bernama, untuk rekod, peneroka Felda memperoleh dividen daripada Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd antara yang tertinggi di negara ini, serta dividen daripada 20 peratus saham yang disimpan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) Bhd untuk peneroka dan 800 unit saham yang dimiliki setiap peneroka sejak penyenaraian (FGVH), jika ia masih belum dijual.
Menyentuh berkenaan perniagaan FGVH, Najib berkata FGVH mempunyai pelan yang besar dan perancangan untuk memiliki aset seperti medan minyak lama yang sudah mengeluarkan hasil supaya pendapatannya dapat ditingkatkan. FeldaVoice
Tiada ulasan:
Catat Ulasan