ADS

Isnin, 15 Disember 2014

Tidak sebulu, Isa gantung tugas pengarah Felda 2 bulan, dedah Anak

Kemelut dalaman antara Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dengan Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad dikatakan sudah berlarutan sejak beberapa minggu selepas tindak tanduknya tidak lagi disenangi Isa. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Disember, 2014.
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendedahkan Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad digantung tugas selama dua bulan kerana berselisih faham dengan Pengerusinya, Tan Sri Isa Samad.
Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata kemelut dalaman di antara Isa dan Faizoull sudah berlarutan sejak beberapa minggu lalu selepas tindak tanduknya tidak lagi disenangi bekas naib presiden Umno itu.
“Saya sahkan dia digantung. Ada pertembungan dalaman antara Isa dengan dia.
"Ada kaitan dengan prosedur pelantikan kakitangan yang tidak diputuskan lembaga pengarah Felda dan Jabatan Perkhidmatan Awam," kata Mazlan kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.
“Itu salah satu sebab. Ada beberapa sebab. Di mana tindakan Faizoull tidak disenangi Isa. Itu dakwaan Isa yang merupakan antara sebabnya. Yang lain nantilah,” katanya.   
Mazlan berkata Faizoull adalah mangsa kedua selepas bekas Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab dipindahkan ke Kementerian Asas Tani dan ditugaskan ke Rome, Itali.
“Sebelum ini saya menulis di Facebook dan menunggu perkara ini meletup. Hari ini dah meletup dah pun. Nak kata hebatnya Isa ini. Faizoull mangsa kedua selepas Dzulkifli.
“Zaman dia (Isa) jadi pengerusi Felda, dua orang pengarah besar menjadi mangsa. Dulu dia (Dzulkifli) pun pengarah besar dalam isu Felda Global Ventures. Akhirnya dia ditendang ke Rom, Itali dan kali ini Faizoull mangsa kedua,” katanya.
Ketika diminta mengulas sebab lain mengapa Faizoull digantung tugas, Mazlan berkata: “Datang esok malam. Saya akan buat sidang media.”
The Malaysian Insider difahamkan tugas Faizoull sebagai pengarah besar Felda kini dipangku ‎Timbalan Pengarah Besar Servis dan Korporat Hanapi Suhada.
Felda pada Selasa mengemukakan tuntutan saman terhadap Nik Nazmi Nik Ahmad kerana mengaitkan Faizoull dengan lelaki yang dikehendaki polis antarabangsa dalam status Facebook pada 11 September lalu.
Peguam Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang mewakili Felda meminta ketua Pemuda PKR itu membayar ganti rugi RM10 juta dan memohon maaf dalam tempoh 7 hari kerana membuat kenyataan tidak berasas dan tidak benar.
"Tuduhan itu terlalu serius sehingga boleh menyebabkan anak guam kami dihina dan dibenci orang ramai serta masyarakat awam. Reputasinya mungkin tercalar sehingga bertahun-tahun," katanya.
Felda juga menuntut Nik Nazmi memohon maaf mengikut kenyataan yang akan didrafkannya sendiri untuk disiarkan, selain menghalangnya daripada melakukan tindakan sama pada masa akan datang.
Namun, exco Selangor itu dalam surat balasnya melalui firma Daim & Gamany berkata, pihaknya tidak akan meminta maaf dan tidak akan berganjak daripada dakwaannya sebelum ini.
"Anak guam kami (Nik Nazmi) sebagai seorang ahli Dewan Undangan Negeri dan ketua Pemuda PKR, bertanggungjawab membangkitkan hal yang menyentuh kepentingan rakyat.
"Kami diarahkan menyatakan yang anak guam kami bergantung kepada pertahanan justifikasi dan komen yang adil," kata peguamnya Latheefa Koya di dalam surat itu sambil menambah pihaknya menolak tuntutan yang dibuat dalam surat saman Felda itu. TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan