ADS

Selasa, 30 Jun 2015

Selagi ada bulan dan bintang, peneroka Felda terhimpit beban hutang yang melampau


Selagi ada bulan dan bintang, realitinya peneroka Felda terhimpit dan tertekan dengan beban hutang yang melampau daripada FELDA. Hutang ini melibatkan kos tanam semula ladang mereka yang bernilai sekitar RM100 ribu hingga RM150 ribu. Sedangkan ketika peneroka masuk FELDA, hutang mereka hanya sekitar RM30 ribu. 

Tun Razak berhasrat mengubah status ekonomi rakyat khususnya orang Melayu yang miskin. Apabila mereka selesai bayar hutang dengan FELDA, maka ladang 10 ekar dan tapak rumah suku ekar itu akan menjadi hak mereka. 


Dengan ladang 10 ekar itu sudah cukup untuk mereka menyara hidup mereka, bahkan mempunyai pendapatan yang lebih daripada keperluan. Bukan lagi berpendapatan rendah. 


Justeru bayangannya ialah di Malaysia, di kawasan pedalaman ada 112 ribu rakyat Malaysia yang bergelar peneroka, taraf hidupnya berpendapatan sederhana tinggi disebabkan kejayaan mereka memiliki ladang sawit atau getah 10 ekar. 


Ini satu kejayaan besar Malaysia. Bahkan ia dinikmati 1.5 juta warga FELDA seluruhnya melibatkan isteri, anak anak peneroka, kakitangan dan anak kakitangan FELDA.

Tetapi malangnya hari ini mereka dibebankan dengan hutang baru. Apabila pokok sawit atau getah berusia 25 tahun dan ke atas. Ia perlu ditebang dan tanam semula. Peneroka diberi pilihan untuk menguruskan sendiri proses tanam semula tersebut atau diserahkan kepada FELDA untuk menguruskannya. 

Majoriti peneroka menyerahkan urusan tanam semula kepada FELDA dan diuruskan oleh sebuah anak syarikat FELDA bernama FELDA Tecno Plant. Kos tanam semula ini ditanggung FELDA daripada penebangan pokok sawit tua, tanam semula sawit baru, pembajaan,racun dan kesemua sekali. 


Selama tempoh itu peneroka tidak ada hasil. Maka mereka dibayar wang sara hidup diantara RM1000 hingga RM1500 setiap bulan. Wang sara hidup ini dikira hutang dengan FELDA. Jika purata mereka terima RM1200 sebulan, maka setahun mereka berhutang RM14400. Jika 10 tahun, jumlahnya sudah RM144 Ribu. Itu belum masuk kos tanam semula. 

Adalah tidak pelik peneroka berhutang kembali sekitar RM100 ribu hingga RM150 ribu dan ada yang lebih daripada itu. Terdapat beberapa persoalan yang menghantui peneroka Felda, antaranya:


1. FELDA sudah sediakan Tabung Tanam Semula yang dipotong daripada pendapatan peneroka sejak tahun 70-an, 80-an lagi. Jumlah tabung ini keseluruhannya dikatakan sebanyak sekitar RM700 juta. Itu jumlah simpanan sahaja, belum dicampur dengan keuntungan pelaburan wang tersebut yang boleh jadi sekali ganda daripada jumlah simpanan. Ke mana pergi duit ini? Walaupun difahamkan jumlah itu tidak mencukupi untuk kos tanam semula, setidaknya ia mampu menampung 50 peratus kos tanam semula tersebut.



2. Ladang sawit milik peneroka tersebut akan mengeluarkan buahnya atau disebut hasilnya selepas usia pokok sawit 3 tahun dan ke atas. Bermakna FELDA sudah mendapat pendapatan daripada ladang peneroka yang diuruskan. Ke mana pergi duit ini? Tidakkah ia mencukupi untuk membiayai kos sara hidup peneroka. Ketika harga sawit naik sekitar RM400 hingga RM700 satu tan sekitar tahun 2008-2011, peneroka yang menanam semula sendiri mendapat hasil sekitar RM6 ribu hingga RM10 ribu sebulan. Jumlah yang sangat besar melebihi kos sara hidup sekitar RM1500 sebulan. Kenapa hasil ini tidak boleh menampung kos sara hidup mereka? Ini sesuatu yang pelik.

3. FELDA menguruskan proses tanam semula ini sehingga bila? Sepatutnya selepas 3 hingga 5 tahun, pokok sawit sudah mengeluarkan hasil, ladang mesti diserahkan semula kepada peneroka untuk menguruskannya. Tetapi hari ini walaupun sudah lebih 10 tahun, ladang mereka masih dipegang FELDA. Bila hendak diserahkan? Selagi tidak diserahkan tiada ketelusan terhadap pendapatan sebenar peneroka hasil sawit mereka. Lebih malang mereka pula yang menanggung hutang. Ini betul betul penyelewengan di siang hari.

Penubuhan Felda 54 tahun dahulu yang bermatlamat untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat Melayu miskin dan berpendapatan rendah melalui pemberian lot tanah rumah dan ladang dan kini dilihat Felda menjadi alat korporat yang telah memiskinkan rakyat.

Felda kini telah menjadi konglomerat bertaraf dunia yang telah tersasar daripada tujuan asal penubuhannya.

Semak Semula Hutang Peneroka Felda


Persatuan ANAK Peneroka Felda Kebangsaan( ANAK) amat bersimpati dengan apa yang diluahkan oleh seorang pengguna laman sosial facebook yang bernama Zurina Amnan mengenai Penyata Hutang yang disediakan Techno Plant berjumlah RM146,502.32 dan tidak termasuk pinjaman baiki rumah sebanyak RM40 ribu.

Hakikatnya, inilah antara isu besar yang saya dan peneroka bangkitkan sekian lama. Saya masih menyimpan begitu banyak resit penyata Tanam Semula Peneroka yang menyatakan kedudukan hutang mereka.

 Setakat ini mengikut rekod saya, ada peneroka menanggung hutang tanam berjumlah RM157 ribu. Waktu itu Datuk Ahmad Maslan menjadi Timbalan Menteri di JPM yang menyelenggara felda, dimana saya telah bangkitkan betapa tidak 'masuk akal' hutang yang begitu tinggi.

Banyak aduan mengenai hutang peneroka telah saya kemukakan kepada Felda. Dalam kes Gugusan Trolak di Perak umpamanya, ia sampai ke peringkat Laporan Polis apabila peneroka hilang sabar mengenai jumlah hutang yang 'mengarut'. Akhirnya, ia dapat diselesaikan dan penyata baru dikeluarkan.

Bahkan, isu hutang peneroka saya muatkan secara berfakta dalam buku saya, Felda...Dulu Tolong Sekarang Along, namun saya di saman kononnya membuat fitnah terhadap Felda.

Ada beberapa point penting jika kita meneliti Kos Tanam Semula peneroka. Sebahagian besarnya terkandung dalam Perjanjian Tanam
Semula dan Pengurusan Kebun antara Felda dengan Peneroka. Antaranya pinjaman sara hidup atau pendahuluan pendapatan, penyelenggaraan kebun, kos baja yang mahal dan pulangan pendapatan yang sepatutnya di nikmati peneroka.

ANAK telah menubuhkan Jawatankuasa Menangani hutang peneroka yang di pengerusikan oleh Sdr Abd Rahman Ramli, Pengerusi Badan Kebangkitan Peneroka Kebangsaan(BANGKIT). Aduan, memorandum hingga kepada SUHAKAM dan YAB Perdana Menteri telah dilakukan. 

Kepedihan dan sakit hati peneroka lebih terasa apabila hutang bertimbun, manakala kebun tidak diselenggara dengan sempurna.

Ada kes yang saya lawati sendiri, kebun belum di tanam sawit tapi hutangnya sudah puluhan ribu!

Saya merayu kepada Pengarah Besar yang baru, Dato' Hanapi Suhada, agar isu hutang peneroka dijadikan fokus utama. Terdapat 95 ribu peneroka yang menyerahkan urusan tanam semula samada melalui Felda dan Techno Plant. Tubuhkan suatu jawatankuasa khas yang membabitkan berbagai pihak agar mekanisma tertentu dapat di lakukan bagi mengurangkan hutang peneroka. Buat semakan semula secara detail dan mansuhkan kos2 yang tidak wajar.

Berkali kali saya telah buat kenyataan agar Kerajaan campur tangan dan mengumumkan pemotongan dengan kadar tertentu atas hutang peneroka. Atas faktor usia peneroka yang telah lanjut, kemudiannya di bebankan dengan hutang yang tinggi, ia bebanan yang menjadi derita peneroka hingga ke akhir hayat.
Untuk mansuhkan hutang tersebut, implikasi kewangan amat tinggi dan Felda tidak mampu menyerapnya.

Namun, jika YAB Perdana Menteri prihatin dan menghargai jasa dan pengorbanan para peneroka, beliau boleh umumkan 'bahawa hutang peneroka dikaji semula. Sebagai permulaan sebagai insentif hariraya, pemotongan hutang sebanyak 25% di lakukan berkuatkuasa 1 Ogos ini'

Ianya akan menjadi hadiah istimewa peneroka menjelang Hari Raya!

MENERAJUI PERUBAHAN

Mazlan bin Aliman
Presiden ANAK

Isnin, 29 Jun 2015

Sejarah Penubuhan FELDA


Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) (bahasa InggerisFederal Land Development Authority (FELDA)) adalah satu agensi kerajaan Malaysia yang menangani penempatan semula penduduk luar bandar yang miskin ke kawasan-kawasan yang baru dibangun agar meningkatkan taraf ekonomi mereka. 

Agensi ini menumpukan kepada pembukaan ladang-ladang pekebun kecil untuk tanaman kontan. Skim-skim FELDA tidak hanya dikhaskan untuk membantu orang Melayu miskin malah beberapa buah Felda terawal seperti Felda LBJ dan Felda Lurah Bilut menerima peneroka pelbagai kaum sperti kaum Cina dan kaum India, begitu juga Felda di Sabah dan Sarawak yangmana peneroka terdiri dari pelbagai kaum dan keturunan yang membentuk sebilangan besar penduduk Malaysia. 

Sehingga tahun 2000, FELDA mengusahakan tanah sebanyak 9,000 kilometer persegi, kebanyakannya ladang kelapa sawit. Walaupun objektif utama FELDA adalah untuk mengurangkan kemiskinan di luar bandar melalui petempatan semula, 
FELDA diasaskan pada 1 Julai 1956 apabila Akta Pembangunan Tanah (1956) dikuatkuasakan. Modal permulaannya RM10 juta, dan petempatan sulung yang terdiri daripada 16.2 kilometer persegi pokok getah dibuka di Ayer Lanas pada 1957 . 
Pada tahun 1958, lima skim yang serupa dibuka. Ianya ditadbirkan oleh sebuah Lembaga yang bertanggungjawab iaitu FELDA berperanan untuk memajukan tanah baru untuk dijadikan ladang pertanian yang produktif melalui pengurusan pertanian yang berkesan di kalangan peneroka serta menggalakkan pertumbuhan masyarakat yang maju dan berdisiplin. 
Pada dekad 1960-an dan 1970-an, dasar kerajaan mula menekankan pelbagaian tanaman untuk mengelakkan kejatuhan harga yang besar. Pada tahun 1961, petempatan kelapa sawit FELDA yang sulung dibuka, dengan 3.75 km² tanah. Sehingga tahun 2000, tanah sebanyak 6,855.2 km² di bawah rancangan FELDA tertumpu kepada kelapa sawit.

Hasil carian imej untuk sejarah felda
Pada awalnya, FELDA bertumpu di Semenanjung Malaysia, kemudian mengembangkan sayapnya dalam  pembangunan tanah di negeri-negeri Sabah dan Sarawak yang membentuk Malaysia Timur.
Kerajaan telah membuat keputusan tidak lagi melaksanakan pengambilan peneroka baru mulai 1 Januari 1990 di semua tanah rancangan seluruh negara. Keputusan kerajaan adalah berdasarkan sumber kewangan yang terhad untuk membiayai projek pembangunan dan infrastruktur di tanah rancangan. Rancangan yang tiada berpeneroka diuruskan oleh FELDA dan hasilnya digunakan untuk membiayai kos pengurusan dan segala projek infrastruktur di tanah rancangan.
Pada mulanya, Felda ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, kemudian ia berpindah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Koperasi dan Usahawanan dan kini diletakkan kembali di bawah Jabatan Perdana Menteri, di bawah Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.
Di bawah ini merupakan senarai menteri-menteri  yang pernah diamanahkan menjaga FELDA. Antaranya:
  1. YB Encik Bahaman Bin Samsudin                           -   (31.08.1957 - 16.11.1959)
  2. YAB Tun Abdul Razak Bin Datuk Haji Hussein        -   (17.11.1959 - 22.09.1970)
  3. YAB Tun Abdul Ghafar Bin Baba                             -   (23.09.1970 - 01.12.1972)
  4. YB Datuk Haji Mohd Asri Bin Haji Muda                   -   (01.01.1973 - 11.12.1977)
  5. YB Tan Sri Haji Abdul Kadir Bin Yusuf                      -   (01.01.1978 - 15.09.1980)
  6. YB Dato' Shariff Bin Ahmad                                      -  (16.09.1980 - 28.04.1982)
  7. YB Dato' Seri Rais Bin Yatim                                    -  (29.04.1982 - 16.07.1984)
  8. YB Datuk Seri Adib Bin Adam                                   -  (17.07.1984 - 11.08.1986)
  9. YB Datuk Dr Sulaiman Bin Haji Daud                        -  (12.08.1986 - 14.06.1989)
  10. YB Datuk Kasitah Gaddam                                        -  (14.06.1989 - 26.10.1990)
  11. YAB Tun Abdul Ghafar Bin Baba                               -  (27.10.1990 - 15.10.1993)
  12. YB Tan Sri Anuar B Haji Musa                                   -  (11.12.1993 - 27.12.1993)
  13. YB Tan Sri Datuk Sakaran Bin Dandai                       -  (28.12.1993 - 16.03.1994)
  14. YB Datuk Osu Haji Sukam                                         -  (27.05.1994 - 08.06.1998)
  15. YB Senator Tan Sridatuk Kasitah Gaddam                -  (26.06.1998 - 05.01.2004)
  16. YAB Dato' Sri Mohamed Najib Bin Tun Abdul Razak   -  (06.01.2004 )

FELDA mempunyai tiga peringkat pengurusan iaitu :
  • Ibu Pejabat
  • Pejabat Kawasan
  • Rancangan
Peserta rancangan Felda digelar Peneroka felda dipilih daripada kalangan orang Melayu termiskin di luar bandar. Mereka perlu sihat, berumah tangga, dan antara umur 21 hingga 50 tahun, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang tidak bertanah untuk berladang.[3] Peneroka baru diberikan tanah sebanyak 10 ekar (40,000 m²) di petempatan yang tertentu untuk mengerjakan ladang pokok getah atau kelapa sawit khususnya.
Semua peneroka diperlukan tinggal di kawasan petempatan, dan diperuntukkan 0.25 ekar (1,000 m²) di sebuah kampung terancang yang telah dibina oleh FELDA. Walaupun pada suatu ketika, infrakstruktur asas seperti air paip dan elektrik tidak dibekalkan, kemudahan tersebut kini diberikan, termasuk juga sekolah, pusat perubatan, dan surau.

Pada asalnya, skim-skim FELDA direka bentuk sebagai koperasi yang sebagai ganti untuk setiap peneroka memiliki tanah sendiri, mereka memiliki sebahagian pemilikan yang sama bagi skim mereka. Bagaimanapun, peneroka-peneroka tidak suka akan skim ini kerana pekerja-pekerja yang tidak berusaha masih akan menerima manfaat yang sama. 
Oleh itu, kerajaan kemudian mencipta sebuah rancangan yang terdiri daripada tiga fasa. Dalam fasa pertama, koperasi itu masih merupakan mekanisme bagi peneroka-peneroka belajar bagaimana berladang. Dalam fasa kedua, setiap peneroka diberikan tanah tertentu dan dalam fasa ketiga, mereka diberikan hak milik tanah mereka. Bagaimanapun, peneroka-peneroka dilarang menjual tanah tanpa kebenaran FELDA atau kerajaan persekutuan.

Kos memperoleh dan memajukan tanah ditanggung oleh peneroka FELDA melalui pinjaman yang dibayar balik melalui ansuran-ansuran bulanan yang dipotong daripada pendapatan peneroka selama 15 tahun.
Walaupun peneroka-peneroka harus menumpukan kegiatan-kegiatan mereka pada pertanian, telah dilaporkan bahawa sebilangan besar juga terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang lain seperti berkedai dan berniaga. Terdapat juga mereka yang bekerja di luar petempatan. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, pertumbuhan kawasan-kawasan bandar telah menyebabkan peningkatan nilai tanah yang amat besar bagi sebilangan petempatan. Dengan kebenaran, banyak peneroka telah menjual ladang mereka dan menjadi jutawan segera.

Sumber kewangan bagi membiayai projek-projek pembangunan oleh FELDA diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan, Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia, Tabung Kerajaan Kuwait, Tabung Pembangunan Arab Saudi dan lain-lain. Wang ini diperolehi dalam bentuk pinjaman untuk membiayai kerja-kerja pertanian, pembinaan kilang dan perumahan peneroka. Peneroka tidak dikenakan sebarang potongan untuk kos pengurusan. Kos pengurusan dibiayai dengan peruntukan yang diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan. 
Bagi Hak peneroka pula, FELDA hanya akan mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri supaya dikeluarkan surat hak milik setelah peneroka menunaikan tanggungjawab sebagai peneroka dan selesai membayar kembali kos pembangunan kepada FELDA termasuk bayaran Cukai Tahunan Yang Disatukan kepada Kerajaan Negeri. 
Bagi peneroka yang telah menerima surat hak milik, apabila berlaku kematian, pembahagian kawasan pegangan kepada waris-waris simati akan diuruskan oleh pejabat tanah daerah yang berkenaan. Bagi peneroka yang belum menerima surat hak milik ianya akan diuruskan oleh unit pesaka kecil Pejabat Daerah dengan kerjasama Pengurus Rancangan. 

Kerajaan telah membuat keputusan tidak lagi melaksanakan pengambilan peneroka baru mulai 1 Januari 1990 di semua tanah rancangan seluruh negara. Keputusan kerajaan adalah berdasarkan sumber kewangan yang terhad untuk membiayai projek pembangunan dan infrastruktur di tanah rancangan. Rancangan yang tiada berpeneroka diuruskan oleh FELDA dan hasilnya digunakan untuk membiayai kos pengurusan dan segala projek infrastruktur di tanah rancangan

Pada 16 Jun 2010, status kewangan Felda adalah sebanyak RM4.08 bilion pada tahun 2004 jatuh kepada RM1.35 bilion pada 2009 kerana ia digunakan untuk tujuan kebajikan—RM2 bilion untuk penanaman semula tanaman, RM603 juta untuk pinjaman rumah tanpa faedah, RM253 juta bagi tabung pembasmian kemiskinan Sabah dan RM662 juta diperuntukkan untuk pembangunan ibupejabat baru Felda. Pada masa yang sama, aset Felda bertambah dengan pulangan daripada RM9.17 bilion pada 2004 kepada RM15.37 bilion kepada 2009, ditambah sebanyak RM6.2 bilion.

Ahad, 28 Jun 2015

Felda Travel : Pakej Pelancungan 'Ibrah Di Bumi Anbiyya'

Iklan Umrah Haji
Felda Travel Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Felda, mengunjurkan seramai 120 orang mendaftar bagi setiap pakej pelancongannya yang terbaru, ‘Ibrah di Bumi Anbiyya’ pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nora Azmin Radzuan berkata unjuran tersebut bermula dari September 2015, dan bergantung kepada ketersediaan penerbangan, katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran pakej itu di sini hari ini.
Ia dilancarkan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Pakej ‘Ibrah’ yang bermaksud pengajaran, menawarkan lima destinasi iaitu Jordan-Petra-Baitulmuqaddis, Turki-Urfa-Adiyaman, Sepanyol-Morocco, Mesir dan Uzbekistan.
Harga bermula dari RM5,888 (Uzbekistan), RM6,888 (Turki), RM7,888 (Sepanyol-Morocco), RM7,888 (Mesir) dan RM7,888 (Jordan-Petra-Baitulmuqaddis).
Katanya selain melihat tinggalan sejarah di tempat-tempat yang dilawati, pelancong yang mengikuti pakej ini juga akan memperoleh pengalaman dan pengajaran yang tidak dapat dibeli, bertepatan dengan tajuk pakej itu, ‘Ibrah di Bumi Anbiyya’.
Beliau berkata pakej yang ditawarkan itu juga menumpukan kepada pengajaran dalam setiap perjalanan, makanan halal dan penjagaan waktu solat.
Felda Travel ditubuhkan pada 1983 dan merupakan syarikat pelancongan yang menawarkan perkhidmatan yang cekap dan menjimatkan.
Ia berjaya meraih beberapa anugerah daripada syarikat penerbangan termasuk Anugerah Diamond daripada MAS, ‘Outstanding Performance’ daripada Etihad dan anugerah ‘Top Agent’ daripada pihak Abacus. 

Peranan dan Tanggungjawab 'Seranta (Felda)

Pengenalan
Unit Seranta (FELDA) telah ditubuhkan pada bulan Mei 1981 iaitu kira-kira 27 tahun yang lalu. Pada peringkat awal penubuhannya, Jabatan telah diletakkan di bawah Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi. Berikutan dengan penstrukturan semula kementerian-kementerian pada 27 Mac 2004, Jabatan telah dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri apabila FELDA diletakkan di bawah tanggungjawab YAB. Perdana Menteri bermula pada bulan Jun 2004 sehingga kini. Kini, Pejabat Unit Seranta (FELDA) terletak di Aras 2, Blok Barat, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya dengan jumlah pegawai seramai 112 orang.
Seranta bermaksud pegawai yang tugasnya mewujudkan dan memelihara hubungan baik antara organisasi/institusi yang dianggotainya dengan orang ramai serta meningkatkan imej organisasi/institusi yang berkenaan. Antara bidang tugas Seranta ialah memantau sosio politik warga FELDA yang keseluruhannya berjumlah hampir 2 juta orang.
Dengan itu peranan Seranta (FELDA) jika dihayati lebih mendalam  adalah bagi memastikan FELDA kekal sebagai warisan berharga amanah pusaka yang perlu dipelihara dan dipertahankan selamanya. 
Agenda
Seranta (FELDA) masih dapat meneruskan agenda mendokong aspirasi Kerajaan amnya dan 5 matlamat Aspirasi FELDA Glokal khususnya iaitu Peneroka Masyarakat Contoh Luar Bandar; Peneroka Berpendapatan Menengah; Membina Generasi Baru Warga FELDA; FELDA sebagai Pelaku Global; dan Memperkukuh Budaya Organisasi FELDA sebagaimana yang kita hasratkan.

Menjelaskan semua dasar-dasar Kerajaan yang akan dilaksanakan, sedang dilaksanakan dan telah dilaksanakan oleh Kerajaan kepada kumpulan sasar yang terlibat

Memenangi hati dan pemikiran kumpulan sasar dan seterusnya mengekalkan sokongan mereka terhadap usaha-usaha Kerajaan di dalam meningkatkan taraf hidup khususnya warga peneroka FELDA dan masyarakat yang mempunyai hubungan dengannya.

Mengenalpasti, menyesuaikan dan melaksanakan tindakan-tindakan yang wajar akibat daripada pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan dengan kerjasama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan agensi lain yang berkaitan khususnya FELDA.

Mendapatkan maklumat mengenai perkembangan sosiopolitik dan ekonomi di rancangan-rancangan FELDA dan memproses maklumat berkenaan untuk dijadikan asas tindakan seterusnya

Menyebar dan memberikan maklumat serta menjelaskan isu-isu semasa kepada warga peneroka FELDA serta masyarakat berkaitan dalam pelbagai bentuk media seperti media cetak, media elektronik atau bersemuka.

Mengadakan seminar, dialog, lawatan sambil belajar, forum, ceramah, pameran dan aktiviti lain yang sesuai kepada kumpulan sasar serta menjadi penyelaras kepada kursus-kursus yang dianjurkan.

Memantau keberkesanan pelaksanaan program FELDA program FELDA serta memberikan input dan cadangan kepada YAB. Timbalan Perdana Menteri bagi menangani isu-isu khusus yang berbangkit mengenai warga peneroka FELDA.

Melaksanakan tugas-tugas yang diarahkan dari semasa ke semasa serta mengemukakan laporan kepada pucuk pimpinan Negara yang meliputi perkembangan terkini secara umum mengenai politik, ekonomi dan sosial bagi kawasan di bawah pengawasan Unit Seranta.

Komitmen

Komitmen ini diterjemahkan oleh Seranta (FELDA) melalui pelaksanaan Program IKTIRAF (Ikatan Hati Warga FELDA) yang menjadi penyatu semua warga FELDA di serata Malaysia melalui 5 komponennya iaitu Anugerah, Iktikaf, 

Iktikad, Iltizam Sahabat Seranta dan Majlis Perundingan Warga FELDA (MPWF). Seranta(FELDA) akan gerakkan dan semarakkan bersama selaras dengan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan. 

Istiqamah

Seranta (FELDA) akan terus mara dan ikhlas beristiqamah melaksanakan tugas dan memberikan perkhidmatan terbaik bagi meningkatkan kualiti insaniah, memperkasa organisasi setempat dan menyuburkan semangat muhibah di kalangan warga FELDA dan masyarakat Malaysia amnya. Semoga segala usaha dan perjuangan murni ini akan sentiasa mendapat keredhaan dan kerahmatan daripada Allah SWT.

Piagam Pelanggan

Pelanggan adalah terdiri daripada warga FELDA (generasi pertama, kedua, ketiga), agensi-agensi di bawah FELDA, agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri terutamanya YAB. Perdana Menteri dan YAB. Timbalan Perdana Menteri.
Iltizam kami adalah untuk memberikan yang terbaik:-
  • Memberikan input terkini dengan tepat, betul dan pantas kepada YAB. Perdana Menteri dan YAB. Timbalan Perdana Menteri atau pegawai mereka dalam masa kurang daripada 24 jam selepas berlaku peristiwa penting dalam kawasan FELDA.
  • Menyediakan bahan-bahan maklumat yang bermutu dan laporan maklum balas yang tepat, semasa dan sahih dalam masa 24 jam selepas berlaku sesuatu peristiwa penting dalam kawasan FELDA kepada pelbagai agensi yang berkaitan.
  • Memberikan khidmat nasihat dan cadangan balas kepada warga FELDA serta membantu agensi-agensi awam yang berkaitan supaya keperluan pelanggan dapat dipenuhi dengan berkesan dalam masa 3 hari selepas aduan dibuat.
  • Memberi taklimat, ceramah dan input kepada pelanggan dalam masa seminggu ke 317 rancangan FELDA tentang isu semasa yang berlaku khususnya kepada pemimpim peneroka dan penerokawati.
  • Memberi khidmat sokongan yang berkualiti kepada warga FELDA dalam pelbagai aspek dengan kaedah komunikasi terkini.

Jumaat, 26 Jun 2015

KPF Lulus Dividen 10% Berjumlah RM266.61 Juta

kpf2
KUALA LUMPUR – Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-34 Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) yang dipengerusikan oleh Pemangku Pengerusi KPF merangkap Pengarah Besar FELDA, Datuk Hanapi Suhada, sebulat suara meluluskan dividen bagi tahun kewangan 2014 dibayar 10% berjumlah RM266.61 juta.
Seramai 1,456 orang perwakilan dari seluruh negeri hadir di Mesyuarat Agung yang diadakan pada 14hb Jun 2015 jam 10 pagi di Dewan Bankuet Menara FELDA.
Mesyuarat Agung ini telah membentangkan 13 agenda termasuk meluluskan penyata kewangan tahun 2014, menetapkan kadar dividen tahunan, memilih anggota Lembaga sesi 2015/2016, meluluskan cadangan bajet 2016, menimbang dan meluluskan cadangan skop dan had pelaburan serta had maksimum keterhutangan tahun 2015 dan menimbang serta meluluskan cadangan pindaan undang-undang kecil.
Jumlah anggota baru bertambah seramai 6,221 anggota kepada 273,421 orang mencatatkan peningkatan sebanyak 1.55%.
Modal syer anggota pula telah mengalami pertambahan bersih sebanyak RM270.69 juta melonjak kepada RM2,706.94 juta yang mencatatkan pertambahan sebanyak 7.16% daripada rekod 2013 iaitu RM2,525.99 juta.
Kumpulan Peneroka yang merupakan 88.68% daripada keseluruhan jumlah anggota, kekal sebagai pemegang terbesar modal syer iaitu RM1,972.66 juta atau 72.87% daripada keseluruhan jumlah modal syer anggota.
Anggota daripada Kumpulan Kakitangan pula seramai 30,949 anggota yang merupakan 11.32% daripada keseluruhan jumlah anggota KPF memegang sebanyak RM734.28 juta (27.13%) daripada keseluruhan modal syer anggota.
Pelaburan KPF telah meningkat kepada RM5,388.66 juta dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.67% bernilai RM140.3 juta berbanding tahun 2013, RM5,248.36 juta.
Pelaburan terbesar adalah dalam Syarikat Kumpulan FGV bernilai RM1,657.25 juta ataupun 30.75% daripada jumlah keseluruhan dana pelaburan, diikuti dengan pelaburan Deposit Berjangka RM1,198.60 juta (22.24%), Pasaran Sekuriti RM989.06 juta (18.35%), Hartanah RM751.69 juta (13.95%), Perladangan RM245.37 juta (4.55%), Syarikat Luar/Usahasama RM173.03 juta (3.21%), Perkhidmatan Kewangan RM116.93 juta (2.17%), Akaun Amanah-ARB RM113.68 juta (2.11%), Modal Syer Bank Koperasi RM58.06 juta (1.08%), Pasaran Sukuk RM50.45 juta (0.94%) dan Syarikat Kumpulan KPF RM34.53 juta (0.64%).
Aktiviti Pelaburan KPF menghasilkan perolehan berjumlah RM1,045.97 juta, jumlah ini termasuk perolehan luarbiasa hasil jualan 51% ekuiti FHB.
Keuntungan bersih bagi tahun 2014 berjumlah RM275.49 juta mencatatkan penurunan sebanyak RM1,490.29 juta berbanding tahun 2013 yang berjumlah RM1,765.78 juta.
Pada tahun ini KPF membayar zakat perniagaan sebanyak RM4.10 juta, berbanding RM14.0 juta pada tahun lalu.
KPF akan memberi fokus kepada sektor-sektor yang berdaya maju seperti perladangan, perkhidmatan kewangan dan khidmat kesihatan.

Rabu, 24 Jun 2015

Kilang Sawit Felda Sungai Tengi Mengalami Kadar Perahan Gred (KPG) Yang Merudum

Masyarakat peneroka Felda di 4 Rancangan Tanah Gugusan Felda Sungai Dusun menggesa supaya Felda dapat mengadakan peraturan baru yang tidak lagi menerima buah tandan segar (BTS) sawit daripada pemborong BTS swasta di dalam dan di luar tanah rancangan yang berhampiran.
Langkah ini bertujuan supaya peneroka tidak terjejas disegi pendapatan ekoran harga sawit merudum di pasaran dan penurunan kadar perahan gred (KPG) sawit yang dihantar ke Kilang Sawit Sungai Tengi ketika ini.

Sejak beberapa tahun dahulu, kerapkali berlaku penurunan KPG. Menurutnya, ada di kalangan peneroka memiliki KPG hanya sekitar16 hingga 19 peratus sahaja sekali gus menyebabkan mereka mengalami kerugian dan tahap pendapatan yang rendah.

Sementara bagi pemborong BTS swasta pula mendapat layanan istimewa dari Kilang Sawit Felda Sungai Tengi dengan memperolihi kadar perahan gred (KPG) pada tahap 20 hingga 25 peratus. 

Dalam resit BTS yang dihantar ke kilang, alasan buah ditolak tidak masuk akal seperti BTS muda, BTS separuh matang (mengkal), BTS akibat serangan tikus, BTS tandan panjang dan sebagainya sedangkan kualiti buah yang peneroka hantar adalah berkualiti setiap bulan, tapi kenapa pula KPG diperolihi rendah?

Jawatankuasa Persepakatan (JCC) yang wujud di Kilang Sawit Felda Sungai Tengi perlu menangani luahan dan rintihan peneroka dalam menangani permasaalahan KPG yang rendah setiapkali peneroka menghantar BTS ke Kilang Sawit. 

Selain daripada itu, JCC perlu mengadakan peraturan yang jelas dan tegas bagi membuktikan usaha Felda bagi membantu golongan peneroka meningkatkan pendapatan mereka.
Dalam perkara ini, peneroka Felda juga menggesa supaya Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) perlu memainkan peranan untuk membantu peneroka Felda yang merudum pendapatan mereka ekoran memperolihi kadar perahan gred (KPG) yang rendah dan tidak memperbaharui lesen penimbang swasta yang ada di tanah rancangan dan menjadikan Felda Palm Industries sebagai kilang tunggal membeli dan memproses BTS peneroka.
Dengan ketiadaan penimbang swasta itu akan mengurangkan masalah kecurian buah sawit di tanah rancangan yang menghantui ladang peneroka sebelum ini.

Mengulas keluhan majoriti peneroka Felda baru-baru ini bahawa kilang Felda perlu tidak lagi menerima BTS yang dihantar pihak pemborong swasta atau orang tengah.
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan disetiap tanah rancangan perlu mendesak supaya peraturan itu menepati hasrat supaya peneroka bekerjasama dengan Felda dalam pelbagai aspek.
Sebelum ini, katanya, pemborong swasta mengambil kesempatan daripada peneroka dengan membeli BTS dengan harga lebih rendah.
''Banyak kebaikan yang diperoleh jika peneroka bersama Felda khususnya dalam aspek penjualan BTS ini,'' katanya.
Pengerusi Badan Bertindak Hal Ehwal Ladang, Encik Muhamad Yushak berkata, aspek kualiti BTS perlu diberi keutamaan olih kilang Felda bagi menentukan kadar perahan gred (KPG) meningkat yang akan memberi keuntungan kepada peneroka.
Dalam pada itu, Encik Arbain bin Ali berkata, tiada sebab untuk peneroka menjual BTS kepada pihak luar kerana kilang Felda memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka.
Bagi Ketua Blok, Encik Azman bin Aris, Felda perlu sentiasa mencari jalan untuk membela masyarakat peneroka terutama ketika kejatuhan harga komoditi itu di pasaran dunia.
Encik Mohd. Arshad bin Hirman pula menggesa supaya peneroka menunjukkan sokongan untuk kekal bersama Felda supaya lebih banyak insentif dan bantuan dapat disediakan kepada mereka.
Pengerusi JKKKP Encik Awalludin bin Mahful berkata, setiap peneroka perlu memiliki penyata pendapatan apabila menjual BTS kepada kilang Felda bagi menunjukkan sebenar jumlah metrik tan di ladang mereka dan pendapatan yang mereka perolihi.