KUALA LUMPUR – Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-34 Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) yang dipengerusikan oleh Pemangku Pengerusi KPF merangkap Pengarah Besar FELDA, Datuk Hanapi Suhada, sebulat suara meluluskan dividen bagi tahun kewangan 2014 dibayar 10% berjumlah RM266.61 juta.
Seramai 1,456 orang perwakilan dari seluruh negeri hadir di Mesyuarat Agung yang diadakan pada 14hb Jun 2015 jam 10 pagi di Dewan Bankuet Menara FELDA.
Mesyuarat Agung ini telah membentangkan 13 agenda termasuk meluluskan penyata kewangan tahun 2014, menetapkan kadar dividen tahunan, memilih anggota Lembaga sesi 2015/2016, meluluskan cadangan bajet 2016, menimbang dan meluluskan cadangan skop dan had pelaburan serta had maksimum keterhutangan tahun 2015 dan menimbang serta meluluskan cadangan pindaan undang-undang kecil.
Jumlah anggota baru bertambah seramai 6,221 anggota kepada 273,421 orang mencatatkan peningkatan sebanyak 1.55%.
Modal syer anggota pula telah mengalami pertambahan bersih sebanyak RM270.69 juta melonjak kepada RM2,706.94 juta yang mencatatkan pertambahan sebanyak 7.16% daripada rekod 2013 iaitu RM2,525.99 juta.
Kumpulan Peneroka yang merupakan 88.68% daripada keseluruhan jumlah anggota, kekal sebagai pemegang terbesar modal syer iaitu RM1,972.66 juta atau 72.87% daripada keseluruhan jumlah modal syer anggota.
Anggota daripada Kumpulan Kakitangan pula seramai 30,949 anggota yang merupakan 11.32% daripada keseluruhan jumlah anggota KPF memegang sebanyak RM734.28 juta (27.13%) daripada keseluruhan modal syer anggota.
Pelaburan KPF telah meningkat kepada RM5,388.66 juta dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.67% bernilai RM140.3 juta berbanding tahun 2013, RM5,248.36 juta.
Pelaburan terbesar adalah dalam Syarikat Kumpulan FGV bernilai RM1,657.25 juta ataupun 30.75% daripada jumlah keseluruhan dana pelaburan, diikuti dengan pelaburan Deposit Berjangka RM1,198.60 juta (22.24%), Pasaran Sekuriti RM989.06 juta (18.35%), Hartanah RM751.69 juta (13.95%), Perladangan RM245.37 juta (4.55%), Syarikat Luar/Usahasama RM173.03 juta (3.21%), Perkhidmatan Kewangan RM116.93 juta (2.17%), Akaun Amanah-ARB RM113.68 juta (2.11%), Modal Syer Bank Koperasi RM58.06 juta (1.08%), Pasaran Sukuk RM50.45 juta (0.94%) dan Syarikat Kumpulan KPF RM34.53 juta (0.64%).
Aktiviti Pelaburan KPF menghasilkan perolehan berjumlah RM1,045.97 juta, jumlah ini termasuk perolehan luarbiasa hasil jualan 51% ekuiti FHB.
Keuntungan bersih bagi tahun 2014 berjumlah RM275.49 juta mencatatkan penurunan sebanyak RM1,490.29 juta berbanding tahun 2013 yang berjumlah RM1,765.78 juta.
Pada tahun ini KPF membayar zakat perniagaan sebanyak RM4.10 juta, berbanding RM14.0 juta pada tahun lalu.
KPF akan memberi fokus kepada sektor-sektor yang berdaya maju seperti perladangan, perkhidmatan kewangan dan khidmat kesihatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan