Selagi ada bulan dan bintang, realitinya peneroka Felda terhimpit dan tertekan dengan beban hutang yang melampau daripada FELDA. Hutang ini melibatkan kos tanam semula ladang mereka yang bernilai sekitar RM100 ribu hingga RM150 ribu. Sedangkan ketika peneroka masuk FELDA, hutang mereka hanya sekitar RM30 ribu.
Tun Razak berhasrat mengubah status ekonomi rakyat khususnya orang Melayu yang miskin. Apabila mereka selesai bayar hutang dengan FELDA, maka ladang 10 ekar dan tapak rumah suku ekar itu akan menjadi hak mereka.
Dengan ladang 10 ekar itu sudah cukup untuk mereka menyara hidup mereka, bahkan mempunyai pendapatan yang lebih daripada keperluan. Bukan lagi berpendapatan rendah.
Justeru bayangannya ialah di Malaysia, di kawasan pedalaman ada 112 ribu rakyat Malaysia yang bergelar peneroka, taraf hidupnya berpendapatan sederhana tinggi disebabkan kejayaan mereka memiliki ladang sawit atau getah 10 ekar.
Ini satu kejayaan besar Malaysia. Bahkan ia dinikmati 1.5 juta warga FELDA seluruhnya melibatkan isteri, anak anak peneroka, kakitangan dan anak kakitangan FELDA.
Tetapi malangnya hari ini mereka dibebankan dengan hutang baru. Apabila pokok sawit atau getah berusia 25 tahun dan ke atas. Ia perlu ditebang dan tanam semula. Peneroka diberi pilihan untuk menguruskan sendiri proses tanam semula tersebut atau diserahkan kepada FELDA untuk menguruskannya.
Majoriti peneroka menyerahkan urusan tanam semula kepada FELDA dan diuruskan oleh sebuah anak syarikat FELDA bernama FELDA Tecno Plant. Kos tanam semula ini ditanggung FELDA daripada penebangan pokok sawit tua, tanam semula sawit baru, pembajaan,racun dan kesemua sekali.
Selama tempoh itu peneroka tidak ada hasil. Maka mereka dibayar wang sara hidup diantara RM1000 hingga RM1500 setiap bulan. Wang sara hidup ini dikira hutang dengan FELDA. Jika purata mereka terima RM1200 sebulan, maka setahun mereka berhutang RM14400. Jika 10 tahun, jumlahnya sudah RM144 Ribu. Itu belum masuk kos tanam semula.
Adalah tidak pelik peneroka berhutang kembali sekitar RM100 ribu hingga RM150 ribu dan ada yang lebih daripada itu. Terdapat beberapa persoalan yang menghantui peneroka Felda, antaranya:
1. FELDA sudah sediakan Tabung Tanam Semula yang dipotong daripada pendapatan peneroka sejak tahun 70-an, 80-an lagi. Jumlah tabung ini keseluruhannya dikatakan sebanyak sekitar RM700 juta. Itu jumlah simpanan sahaja, belum dicampur dengan keuntungan pelaburan wang tersebut yang boleh jadi sekali ganda daripada jumlah simpanan. Ke mana pergi duit ini? Walaupun difahamkan jumlah itu tidak mencukupi untuk kos tanam semula, setidaknya ia mampu menampung 50 peratus kos tanam semula tersebut.
2. Ladang sawit milik peneroka tersebut akan mengeluarkan buahnya atau disebut hasilnya selepas usia pokok sawit 3 tahun dan ke atas. Bermakna FELDA sudah mendapat pendapatan daripada ladang peneroka yang diuruskan. Ke mana pergi duit ini? Tidakkah ia mencukupi untuk membiayai kos sara hidup peneroka. Ketika harga sawit naik sekitar RM400 hingga RM700 satu tan sekitar tahun 2008-2011, peneroka yang menanam semula sendiri mendapat hasil sekitar RM6 ribu hingga RM10 ribu sebulan. Jumlah yang sangat besar melebihi kos sara hidup sekitar RM1500 sebulan. Kenapa hasil ini tidak boleh menampung kos sara hidup mereka? Ini sesuatu yang pelik.
3. FELDA menguruskan proses tanam semula ini sehingga bila? Sepatutnya selepas 3 hingga 5 tahun, pokok sawit sudah mengeluarkan hasil, ladang mesti diserahkan semula kepada peneroka untuk menguruskannya. Tetapi hari ini walaupun sudah lebih 10 tahun, ladang mereka masih dipegang FELDA. Bila hendak diserahkan? Selagi tidak diserahkan tiada ketelusan terhadap pendapatan sebenar peneroka hasil sawit mereka. Lebih malang mereka pula yang menanggung hutang. Ini betul betul penyelewengan di siang hari.
Penubuhan Felda 54 tahun dahulu yang bermatlamat untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat Melayu miskin dan berpendapatan rendah melalui pemberian lot tanah rumah dan ladang dan kini dilihat Felda menjadi alat korporat yang telah memiskinkan rakyat.
Felda kini telah menjadi konglomerat bertaraf dunia yang telah tersasar daripada tujuan asal penubuhannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan