ADS

Jumaat, 19 Jun 2015

Lawatan Exco Negeri Selangor ke Kg. Seri Fajar, Sungai Tengi Selatan


Kearah penyelarasan agenda penubuhan Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Seri Fajar yang kini di peringkat akhir, Exco Negeri Selangor, Yang Berhormat Dato' Dr. Ahmad Yunus bin Hairi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi serta rombongan dari Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) telah mengadakan lawatan ke Kampung Seri Fajar, Sungai Tengi Selatan pada 19hb. Jun, 2015.

Sesi taklimat telah diadakan di Bilik Mesyuarat JKKR, Felda Sungai Tengi Selatan dikendalikan oleh Dato' Penghulu Mukim Hulu Bernam Utara, En. Mohamed Jamil bin Abu Bakar bagi pencerahan tujuan utama penubuhan JKKK Kg. Seri Fajar dapat dijayakan di kampung ini.


Turut dihadiri oleh Ketua Cabang PKR Hulu Selangor, Puan June Leow dan Yang Di Pertua PAS Kawasan Hulu Selangor, Tuan Haji Mohamad Idris bin Ahmad, Ketua Kampung Sg. Tengi, En. Selamat Ratio, Pegawai Felda, Encik Mohd. Hatta bin Nawi dan semua Jawatankuasa JKKK Penaja Kg. Seri Fajar.

Dalam ucapan YB Dato' Dr. Ahmad Yunus menjelaskan permohonan penubuhan JKKK Kg. Seri Fajar diperingkat akhir dan akan diangkat ke Mesyuarat Exco untuk diluluskan kerana dari segi dasarnya kampung ini mempunyai ciri-ciri kampung tradisi dan menepati  kehendak Kerajaan Negeri Selangor. 



Dengan adanya JKKK di kampung ini, memudahkan Kerajaan Negeri untuk menyalurkan info-info dan dasar-dasar Kerajaan Negeri, selain untuk menyalurkan peruntukan-peruntukan yang ada dari Kerajaan Negeri setiap tahun untuk pembangunan sosial dan kampung amnya.

Kerajaan Negeri akan membantu institusi JKKK di setiap kampung dalam membentuk masyarakat yang harmoni, pembangunan yang mampan dan melahirkan insan yang cemerlang, selaras dengan dasar Kerajaan Negeri untuk merakyatkan ekonomi Selangor. 


Kampung-kampung yang tidak mempunyai badan JKKK, sebenarnya tertinggal dari arus mendapatkan maklumat-maklumat dari Kerajaan Negeri. Dimana Kerajaan Negeri Selangor telah mewujudkan 17 MES program dan skim yang terancang untuk rakyat dalam merakyatkan ekonomi Selangor iaitu Air Bersih Percuma 20 meter padu, Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Pusat Khidmat Krisis Sehenti, Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Anak Pekerja Ladang, Peningkatan Hasil Galian, Skim Kesihatan Wanita, Skim Mikrokredit Selangor, Pusat Dialisis Rakyat, Kemudahan Cuti Tambahan, Program Tuisyen Rakyat, Skim Mikrokredit Wanita Ladang, Skim Bantuan Asuhan Rakyat, Skim Bantuan Tadika dan Insentif Perkahwinan Belia.

Selain daripada itu, beliau menggesa supaya badan-badan yang ada di kampung ini seperti JKKR, JKKP, JKKR, NGO dan lain-lain institusi dalam Rancangan Felda Sungai Tengi Selatan dapat bergabung tenaga dan idea dalam satu matlamat untuk membangunkan kampung yang indah dan lagi permai ini. 


Setiausaha Penaja JKKK Kg. Seri Fajar, Encik Muhammad Yushak bin Sajari berharap penubuhan JKKK ini menjadi realiti selaras dengan hasrat nurani penduduk merakyatkan ekonomi rakyat yang menjadi teras Kerajaan Negeri. 

Sementara Ketua Kampung Penaja JKKK, Encik Mustafa bin Isa menyifatkan dengan penubuhan JKKK di Kg. Seri Fajar dapat mengintergerasikan kepimpinan yang ada di Felda Sungai Tengi Selatan kearah lebih praktikal dan berdayamaju dalam menterjemahkan pembangunan kampung.

Exco Negeri Selangor, Dato' Dr. Ahmad Yunus dan rombongan UPEN telah mengadakan lawatan di sekitar Kg. Seri Fajar untuk melihat sendiri insfrastruktur-insfrastruktur yang sedia ada, begitu juga dengan kawasan cadangan perumahan generasi kedua yang akan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Selangor tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan