17 Feb : Kehadiran Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad ke majlis ramah mesra bersama penduduk Felda Soeharto telah memeriahkan lagi suasana makan malam yang berlangsung malam tadi.
Disambut dengan puluhan penduduk Felda Soeharto, Isa Samad melahirkan rasa syukur kerana dapat menjejakkan kaki ke Felda Soeharto dan bertemu sendiri dengan penduduk felda itu.
Malah, bagi Isa Samad, majlis bertemu dengan pemimpin teratas Felda merupakan platform buat penduduk dan peneroka Felda untuk mengetahui perkembangan isu semasa yang berlaku ketika ini.
“Pertamanya, saya lafazkan rasa syukur kepada Allah S.W.T kerana dapat sampai ke Felda Soeharto dalam majlis bertemu dengan pengerusi Felda.
“Kita buat ini (majlis ramah mesra) untuk dedahkan penduduk Felda dengan isu-isu semasa, itu yang penting. Kerana selaku peneroka Felda dapatlah mengetahui perkembangan negara iaitu isu apa yang diperkatakan dan perkara-perkara yang dibincangkan di mana sahaja,” kata Isa Samad dalam ucap rasminya di Dewan Komuniti Felda Soeharto, di sini.
Majlis ramah mesra bersama pengerusi Felda di Felda Soeharto merupakan majlis pertama diadakan selaku tuan rumah acara itu.
Ia merupakan satu objektif keprihatian pemimpin Felda terhadap masyarakat Felda di sekitar Wilayah Trolak.
Justeru, Isa Samad berharap majlis ramah mesra seperti itu dapat diadakan lagi di masa akan datang.
“Saya gembira menghadiri majlis seperti ini. Jadi, berharap dapatlah ia diadakan lagi untuk masa akan datang,” katanya.
Turut hadir ke majlis adalah ADUN Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar, ADUN Batang Kali, Mat Nadzri Ahmad Dahlan, Ahli Lembaga Pengarah Felda, Dato’ Khusairi Abd Talib, Pengarah Seranta Felda (JPM), Hj. Mohamad Khairuddin Mohamad, Pengurus Besar Felda Wilayah Trolak, Mohd. Mokhtar Lateh dan Pengurus Felda Soeharto, Azahari Mohamed Said.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan