ADS

Sabtu, 15 Februari 2014

Pelan Sewa Jangka Panjang Felda Keatas Tanah Peneroka Tidak Berpatutan


Saudara  Pengarang,
Baru-baru ini Pengarah Jabatan Sewa Jangka Panjang FELDA, Tuan Haji Husin bin Ali telah datang ke Felda Sungai Tengi Selatan untuk membincangkan dengan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR) berhubung dengan rancangan FELDA untuk melaksanakan sewa jangka panjang keatas tanah-tanah Peneroka di Felda Sungai Tengi Selatan, Daerah Hulu Selangor dengan matlamat berikut:

  • Menguruskan ladang peneroka dan blok FELDA melalui Amalan Pertanian Yang Baik (GAP) dan Amalan   Pengurusan Terbaik (BMP).
  • Meningkatkan pendapatan peneroka/FELDA melalui produktiviti kebun bersama Felda Technoplant Sdn. Bhd (FTPSB) secara sistem skim sewa jangka panjang.
  • Kawalan kos operasi ladang pada tahap yang minima dan pengeluaran hasil yang maksima.
  • Menyelesaikan isu-isu berbangkit berkaitan pengurusan ladang peneroka (Kawasan berhasil).
Cadangan Felda memang baik bagi kepentingan Peneroka Felda yang sudah tidak upaya lagi mengerjakan ladang. Cuma yang muskil bagi peneroka ialah mengenai unjuran Felda mengenai penyewaan jangka panjang tanah ladang milik peneroka. Antaranya:
  • Felda akan menyewa ladang peneroka setakat kadar bayaran RM1,750 sebulan. Walhal kadar bayaran tersebut tidak sesuai dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang. Boleh dikategorikan dibawah kepompong kemiskinan.
  • Tempoh penyewaaan jangka panjang pula pada tahap hingga perlaksanaan tanam semula sawit iaitu kira-kira 20 tahun lagi.
  • Kadar bayaran RM1,750 sebulan tidak termasuk kepada potongan-potongan meja setiap bulan.
Dengan demikian, saya sebagai seorang Peneroka Felda amat kecewa dan tidak berpuas hati kepada unjuran Felda dalam pelan sewa jangka panjang keatas tanah peneroka.

Saya mohon kepada pihak Kerajaan khususnya Perdana Menteri YAB Dato' Seri Najib bin Tun Razak yang menjaga hal ehwal Felda dapat meneliti dan membuat kajian dalam perkara ini supaya antara Felda dan Peneroka dalam situasi menang-menang.

Rintihan dan keluhan Peneroka Felda ini dapat didengari oleh pihak atasan.

Sekian, Terima Kasih.

PENEROKA FELDA SUNGAI TENGI SELATAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan